✿ KARYA ✿

Karya 1 :



Cerpen : 

TANGISAN  MISTERI  BAS  USANG
Kring! 
Loceng  sekolah  berdering  kuat  menjadi  simbol  tamatnya  waktu  kelas  tambahan  pada  malam  itu.  Semua  pelajar  tingkatan  5  dan  tingkatan  3  Sekolah  Sri  Bangsar  mula  berpusu-pusu  keluar  meninggalkan  pintu  pagar  sekolah.  Ada  yang  berjalan  gaya  Mak  Jemah  hendak  ke  pasar,  tidak  kurang  juga  yang  berlari  pecut  mengalahkan  Usain  Bolt! 

Dari  kejauhan,  kelihatan  kelibat  dua  sahabat  sedang  mengatur  langkah  dengan  penuh  keayuan  sekali.  Maklumlah,  sejak  dinobatkan  sebagai  Tokoh  Maal  Hijrah  Sri  Bangsar,  mereka  mestilah  sentiasa  menjaga  keayuan!  Tidak  boleh  terlebih  dos  gedik!  Nanti,  tidak  fasal-fasal  telinga  berdesing  mendengar  segala  macam  kontroversi  yang  menikam  sanubari!

“Malam  ini,  saya  akan  balik  naik  bas.  Abang  saya  tidak  dapat  menjemput  saya  di  sekolah,” ujar  Ina  sambil  mencebik  sedih. 

“Nasib  kita  samalah.  Mama  saya  juga  tidak  dapat  mengambil  saya  di  sekolah.  Tidak  mengapa,  saya  boleh  temankan  awak  naik  bas,” balas  Farah  sambil  menggamit  mesra  lengan  Ina.

“Wah,  betulkah?  Kalau  begitu,  lebih  baik  kita  ke  perhentian  bas  sekarang  juga.  Takut-takut  kalau  terlewat  nanti,  tidak  ada  pula  bas  yang  sudi  menghantar  kita  ke  rumah,” ucap  Ina  dengan  penuh  bersemangat  sekali.

Tanpa  melengahkan  waktu  walau  sesaat,  kedua-dua  sahabat  itu  mula  melangkah  laju  menuju  ke  perhentian  bas.  Suasana  pada  malam  itu  kelihatan  agak  menyeramkan. Maklumlah,  sudah  hampir  pukul  10.30  malam!  Jumlah  pelajar  yang  tinggal  pun  sudah  boleh  dikira  menggunakan  jari.  Memang  sedikit  sangat!

“Masih  adakah  bas  yang  mengambil  penumpang  pada  malam-malam  buta  begini?” Farah  mula  menyatakan  rasa  kerisauannya  kepada  Ina.  Jika  difikirkan  dengan  logik  akal,  memang  tidak  ada  bas  yang  mengambil  penumpang  pada  lewat  malam.  Sekiranya  ada  pun,  mungkin  itu  bas  yang  dipandu  oleh  sekumpulang  bunian!  Nauzubillah min  zalik!

“Awak  janganlah  berfikiran  negatif  begitu.  Kita  mesti  bertenang  dan  fikirkan  yang  baik-baik  sahaja.” Ina  memandang  tepat  wajah  Farah.

Farah  sekadar  mengangguk  lemah.  Kalau  ikutkan  hati,  Farah  lebih  rela  menumpang  kereta  The Wannababes  daripada  terpaksa  menunggu  bas  pada  waktu-waktu  sebegitu.  Iya  lah, dalam  waktu  lewat  malam  begitu,  Farah  dan  Ina  sangat  berpotensi  untuk  diculik  dan  dijadikan  tebusan  oleh  penjenayah  yang  tidak  berperikemanusiaan!

“Apa  lagi  yang  awak  fikirkan  itu?  Berkerut-kerut  sahaja  dahi  awak  saya  tengok.” Ina  menegur  kelakuan  Farah  dengan  nada  suara  yang  tegas.  Dia  tidak  suka  melihat  Farah  berkerut-kerut  muka  begitu.  Sudah  tidak  comel  macam  Kak  Ton!  Nanti  muka  jadi  cepat  berkedut  pula!

“Saya  risaulah,  Ina.  Sudah  hampir  15  minit  kita  tunggu  di  sini. Tetapi,  satu  buah  bas  pun  belum  kelihatan.  Marilah  kita  balik  sahaja  ke  rumah  dengan  berjalan  kaki!  Lagi  pula,  rumah  kita  itu  bukannya  jauh  beribu  batu!  Hanya  sekangkang  kera  sahaja!” Farah  sudah  mula  bercekak  pinggang,  gaya  tidak  selesa.  Dia  mahu  balik  sekarang  juga!

“Ish, tidak  bolehlah  begitu!  Kalau  balik  berjalan  kaki,  itu  lebih  bahaya! Macam-macam  perkara  boleh  terjadi  kepada  kita,  tahu!” tegas  Ina  sambil menepuk  lembut  bahu  Farah.

Farah  melepaskan  keluhan  berat.  Ada  benarnya  juga  kata-kata  Ina  tadi.  Debaran  di dada  semakin  terasa.  Farah  benar-benar  risau  tahap  dewa!  Sekiranya  ada  seseorang  yang tidak  dikenali  menegur  mereka,  pasti  Farah  menjadi  orang  pertama  yang  membuka langkah  sejuta!

“Eh,  itu  macam  lampu  bas!” Ina  menjerit  kuat.

“Mana?  Mana?” soal  Farah  sambil  berusaha  memanjangkan  leher,  cuba  mencari  arah  lampu  bas  yang  dimaksudkan  oleh  Ina  tadi.

Dari  kejauhan,  kelihatan  sebuah  bas  berwarna  kuning  langsat  sedang  menuju  ke  arah  perhentian  bas,  tempat  Farah  dan  Ina  bertapa. Saat  itu,  Farah  dan  Ina  sudah  tersenyum  lebar  dan  melompat  gembira!  Akhirnya,  bas  yang  ditunggu-tunggu  muncul  juga!

Namun,  kegembiraan  yang  dirasakan  hanyalah  sementara.  Sebaik  sahaja  bas  tadi  berhenti  di  hadapan  mereka,  Farah  mula  menyedari  keanehan  yang  terdapat  pada  bas  tersebut.

“In … Ina,  kenapa  bas  itu  tidak  ada  pemandu?” Farah  berbisik  perlahan  ke  telinga  Ina.

“Ish,  adalah!  Cuba  awak  tengok  betul-betul!” Ina  mendengus  marah.

Farah  tersenyum  malu.  Disebabkan  pemandu  bas  itu  berkulit  gelap  dan  berpakaian  hitam,  jadi  Farah  tidak  perasan  pula  akan  kewujudan  pemandu  bas  itu.

“Sudah,  jangan  buang  masa  lagi. Cepat  masuk  ke  dalam  bas  sekarang juga!” arah  Ina  sambil  menarik  lengan  Farah  menuju  ke  pintu  bas  yang  berada  dalam  keadaan  uzur  itu.

“Tetapi.... bas  itu  nampak  uzur  sangatlah!  Di  dalamnya  pun  tidak  ada  lampu.  Gelap  semacam sahaja!” komen  Farah  dengan  gaya  gedik.  Amboi,  macamlah  dia  itu  anak  seorang  Tan  Sri,  mahu  memilih-milih  jenis  kenderaan  pula!

Please,  Farah!  Don’t  judge  a  bus  by  it’s  cover!” Ina  sudah mula  bercekak  pinggang.  Tanpa  sebarang  amaran,  dia  sudah  pun  menolak  lembut  badan  Farah  untuk  segera  masuk  ke  dalam  perut  bas  itu.

Kala  itu,  Farah  hanya  mampu  menelan  air  liur.  Segala-galanya  sudah  cukup  terlambat!  Dia  sudah  pun  berada  di  dalam  bas tersebut.  Mahu  melompat  turun,  terasa  tidak  berani  pula.  Nanti,  tidak  fasal-fasal  patah  segala  tulang  milik  Farah!  Huh,  tidak  sanggup  rasanya!

 “Adik  berdua  ini  mahu  ke  mana?” tanya  pemandu  bas  yang  berpakaian  serba  hitam  itu.

“Err,  hantarkan  sahaja  ke  perumahan  di  hadapan  sana,  ya.” Ina  membalas  pertanyaan  pemandu  tadi  dengan  suara  yang  mendatar.

Sepanjang  perjalanan  pulang ke  rumah,  Farah  tidak  henti-henti  terkumat-kamit  membaca  segala  jenis  doa.  Selamatlah  dia  tidak  terbaca  doa  makan  di  situ!  Ina  pula  sekadar  menggeleng  kepala  melihat  telatah  Farah  yang  ketakutan  itu.  Macamlah  mereka  ini  sedang  menaiki  kereta  penjenayah  tersohor  di Sri  Bangsar!

Beberapa  minit  kemudian,  kedengaran suara seseorang  di  tempat  duduk  paling  belakang  di  dalam  bas  tersebut.  Farah  mula  mengerutkan  dahinya.  Seingat  dia,  hanya  dia  dan  Ina  sahaja  yang  berada  di  dalam  bas  itu.  Jadi,  suara  siapa  pula  yang  didengarnya?

“Awak  dengar  tidak  suara  perempuan  menangis?” Farah  menyiku  perlahan  lengan  Ina  yang  duduk  di  sebelahnya.

“Dengar.  Agaknya,  siapa  ya?” Ina  juga  sudah  kelihatan  sedikit  resah. 

Mahu  menoleh  ke  belakang  melihat  empunya  suara,  rasa  tidak  berani  pula!  Manalah  tahu,  itu suara  Cik  Ponti  yang  tumpang  sekaki! 

“Awak  cubalah  toleh  ke  belakang,” pujuk  Farah.

“Ish,  tidak  mahulah  saya!” balas  Ina.

Semakin  lama,  suara  perempuan  menangis  itu  semakin  kuat  kedengaran.  Farah  dan  Ina  sudah  berpeluk  tubuh,  berasa  takut  yang  teramat  sangat!  Sesaat … seminit … mereka  berdua  akhirnya  menoleh ke  belakang  dengan  serentak!  Hampir  tercabut  keluar  jantung  mereka  apabila  melihat  wajah  perempuan  yang  sedang  duduk  di  kerusi  belakang  dalam  bas  itu.

Rupa-rupanya, ada perempuan  lain  yang  beradaa  di  dalam bas  itu  bersama-sama  mereka.  Seorang  perempuan  cantik  yang  menangis  kerana  menonton  babak  sedih  dalam  Drama  Korea  melalui  Ipad  yang  dibawanya!  Huh!  Fikirkan Cik  Ponti  mana  yang  tersesat  naik  bas!


Hak Cipta Terpelihara @ Syafieqah Qafiesya 2014

No comments:

Post a Comment